KUDAT: Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat berjaya merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis dan 2 tan ikan baja serta menahan dua bot pukat tunda yang dikesan menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pantai, pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot pertama dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) sekitar jam 6.30 petang di kedudukan 2.6 batu nautika timur laut muara Marina, Kudat.
“Ketika ditahan, bot sedang menarik pukat dalam zon larangan.
“Enam kru berada di atas bot, dua daripadanya warga tempatan dan empat warga Indonesia, semua dengan dokumen sah,” katanya.
Bot kedua pula ditahan sekitar jam 7 malam di perairan Tagumamal, 2.2 batu nautika dari pantai, juga hasil maklumat SWASLA.
Ia membawa sembilan kru termasuk seorang warga Filipina yang memiliki dokumen meragukan.
“Semua tangkapan, bot serta hasil rampasan dibawa ke jeti Kudat untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.






