RANAU: Sebuah lori treler yang membawa muatan tong gas LPG dilaporkan terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Simpang Tamu Mingguan Sungai Liwagu di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.23 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota pasukan Bomba dari BBP Ranau telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 1 kilometer.
“Lapor kebakaran melibatkan sebuah lori treler membawa muatan tong gas LPG terbakar 10 peratus di bahagian tayar belakang lori.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera FRT.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pemeriksaan telah dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.