PERSATUAN ETNIK PERLU TERUS PERKASA BAHASA, BUDAYA DAN ADAT ETNIK: KM HAJIJI

PERSATUAN ETNIK PERLU TERUS PERKASA BAHASA, BUDAYA DAN ADAT ETNIK: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Bernama )

PENAMPANG, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua persatuan etnik berbilang latar belakang di negeri ini terus memperkasakan bahasa, kebudayaan dan adat etnik masing-masing agar tidak pupus dihanyut arus perkembangan pesat globalisasi.

Katanya, ia penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik di Sabah yang terdiri daripada lebih 35 etnik dan 217 sub etnik, menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek, akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi
masa kini.

“Saya mahu persatuan etnik juga berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kita bimbang jika soal bahasa ibunda ini tidak diberi perhatian serius, ia akan pupus begitu sahaja.

“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut. Justeru, generasi muda harus bersama-sama mengambil tahu tentang bahasa dan kebudayaan kaum sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Lagu SABAHvfm 2023 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA pada Khamis.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di negeri ini juga akan terus diperkasakan.

Menurutnya, keunikan Sabah bukan hanya pada sumber alam semula jadi sahaja tetapi juga budaya rakyat termasuk bahasa.

Katanya, rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh generasi muda dan orang luar.

Sehubungan itu katanya, penganjuran majlis Anugerah Lagu SABAHvfm yang menerima sambutan baik daripada masyarakat, khususnya para pengkarya seni muzik tempatan akan membantu usaha memartabatkan bahasa etnik Sabah dengan lebih berkesan menerusi sinergi kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan seperti RTM.

Beliau berharap dengan penglibatan lebih ramai anak muda daripada pelbagai suku kaum yang menyertai pertandingan seperti itu, agar mereka lebih mengenali bahasa dan budaya masing-masing.

Hajiji juga mengalu-alukan inisiatif dan kesungguhan RTM dalam menganjurkan pertandingan berprestij bagi lagu-lagu dalam bahasa etnik di Sabah.

“Penganjuran program ini mampu memelihara khazanah warisan budaya pelbagai etnik di Sabah terutama bahasa agar tidak pupus dalam arus pembangunan dunia globalisasi.

Muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik serta menarik.

“Saya berharap program itu akan menjadi satu usaha untuk menggalakkan generasi muda kita mahir bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Kita perlu memelihara bahasa ibunda masing-masing untuk diwarisi generasi akan datang dan memastikannya tidak pupus.

“Dengan ini, bahasa dan setiap amalan budaya tradisional akan terus kekal menjadi warisan kepada generasi akan datang.

“Semoga penganjuran Anugerah Lagu SABAHvfm berupaya meningkatkan penguasaan bahasa etnik khususnya Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut dalam kalangan rakyat dari suku kaum berkenaan, mahu pun silang budaya yang mampu menjadi wadah perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Sabah dan Malaysia amnya,” tambahnya.