KENINGAU, SABAH – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Keningau setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah Perodua Viva di berhampiran Kampung Sasaie Bingkor, di Jalan Bingkor Bypass, sini, semalam.
Mangsa tersebut dikatakan tidak menggunakan topi keledar ketika membawa motosikal jenis Modenas Kriss ke Pekan Keningau dari arah kampung Singgah Mata.
Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Nor Rafidah Kasim berkata mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang dan memasuki laluan bertentangan.
“Akibat kemalangan berkenaan mangsa tercampak manakala Perodua Viva terbabas ke bahagian kiri jalan…
“Pemandu kenderaan Viva, seorang lelaki berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal sendiri.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang awam dinasihati supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kemalangan,” tambah Rafidah.





