TAWAU, SABAH – Cubaan sindiket menyeludup masuk 8,650 karton rokok tidak bercukai ke dalam negara melalui Batu 3 sini dipatahkan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2).
Empat buah bot laju dikesan bergerak dari arah Pulau Sebatik, Indonesia dikesan jam 3 pagi tadi menerusi rondaan Op Benteng Bersama.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) menahan sebuah lori muatan berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut pada jam 4.00 pagi.

“Tim QRF telah melaksanakan pemeriksaan awal terhadap lori tersebut dan mendapati, kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau serta telah ditinggalkan apabila menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut.
“MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya.
Menurutnya, kenderaan tersebut bersama kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membuat laporan polis pada jam 1.40 petang tadi.
“Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi kesemua rokok seludup adalah dianggarkan bernilai RM 1,038,000 manakala sebuah lori muatan jenis bonded dianggarkan bernilai RM 40,000…
“Kesemua barang rampasan dan kenderaan telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 2.40 petang untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau lagi, ATB 2 juga melaksanakan aturgerak operasi dengan pelbagai kaedah iaitu silir ganti tempoh masa yang berbeza serta menggabungkan semua aset dan elemen pengawasan secara terkoordinasi bagi memastikan sempadan Perairan Pantai Timur Sabah sentiasa diawasi ketat.





