
KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah membongkar kegiatan penebangan kayu secara haram sekali gus merampas 200 batang kayu bakau dalam Ops Bersepadu Khazanah di hutan simpan Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, kelmarin.
Semua kayu itu ditemui selepas pasukan Batalion 20 PGA Beluran dan Jabatan Perhutanan Sabah melakukan pemeriksaan hasil daripada risikan dan maklumat awam pada jam 2.33 petang kelmarin.
Operasi Bersepadu itu turut disertai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Taman – Taman Sabah (TTS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejayaan ini hasil kerjasama daripada semua jabatan terlibat.
“Longgokan kayu bakau tersebut ditermui ketika melakukan rondaan pemantuan di kawasan hutan terbabit yang terletak berhampiran sempadan hutan simpan…
“Semua kayu bakau itu kemudian disita untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi tadi.
Mohd Abduh berkata, semua kayu bakau itu dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.
“Tiada tangkapan dilakukan dan semua kayu bakau itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk siasatan lanjut…
“Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969,” katanya.