
KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menyantuni tiga buah rumah pertubuhan di sekitar daerah Kota Kinabalu.
Pengerusinya, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman berkata, rumah-rumah pertubuhan tersebut merupakan tempat perlindungan saudara-saudara baru yang ingin belajar.
“Pada hari ini, MPWS dan JHEWA bersama-sama menyantuni saudara-saudara baru di tiga rumah pertubuhan iaitu Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDMRS Muslim) di Putatan, Penghuni Hidayah Centre Foundation, Alamesra dan Pertubuhan Rumah Kebajikan Perlindungan Saudara Kita (SAHABAT), Likas.
“Dalam program ini, seramai 75 penghuni dari tiga pertubuhan menerima sumbangan wang tunai, pakaian, buah kurma dan juga bahan makanan bagi memudahkan mereka menjalani ibadah puasa.
“Diharapkan sumbangan ini mampu menggembirakan kepada saudara baru kita ini untuk menjalani ibadah puasa bersama keluarga tercinta juga kawan-kawan,” katanya ketika ditemui media sempena Program Ziarah Kasih Ramadhan 1445H/2024M MPWS dan JHEWA, pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail, Timbalan Pengerusi Induk MPWS, Baiyah Ag. Mahmon, Ahli Jawatankuasa Induk MPWS, Datuk Eliza Goh, Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Zul Azrie Dahim serta Pengerusi Kawasan KDMRS Muslim dan SAHABAT, Johari Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH