Konvoi Jelajah Ramadan RTM Lalui Perjalanan 1,183 Kilometer

Konvoi Jelajah Ramadan RTM Lalui Perjalanan 1,183 Kilometer

0
SHARE
Rtm
Salmah (tengah) bergambar kenangan bersama dalam majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Konvoi Jelajah Ramadan Radio RTM Sabah 2024 bakal melalui perjalanan sejauh 1,183 kilometer, mulai semalam.

Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim berkata, konvoi tiga hari tersebut dijangka akan menyantuni dan memberi sumbangan kepada lebih 500 orang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, warga emas dan ibu tunggal.

“Jelajah Ramadan yang merupakan program tonggak saluran radio RTM yang memasuki edisi ke-12 telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terpanjang Di Malaysia meliputi pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara.

“Jelajah ramadan kali ini melibatkan empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tawau dan Sandakan sebagai lokasi penutupan dan acara kemuncak Jelajah Ramadan.

“Tujuan jelajah ramadan ini dilakukan adalah untuk menyantuni golongan asnaf, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya kepada media selepas Majlis Flag Off Konvoi Jelajah Ramadan Radio RTM Sabah 2024 di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Salmah turut mengharapkan kerjasama rakan-rakan strategik dapat diteruskan di masa hadapan kerana RTM adalah satu wadah untuk menemukan jabatan, agensi, badan NGO dan swasta untuk mendampingi golongan yang memerlukan sekaligus menunjukkan keprihatinan kepada masyarakat.

Konvoi seramai 26 peserta tersebut turut disertai para penyampai stesen radio SABAHfm, SABAHVfm, KENINGAUfm, TAWAUfm dan SANDAKANfm, selain pihak pengurusan RTM Sabah yang diketuai oleh Salmah.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi, Kamal Roslim, Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Cyril Simon dan Pengurus Wilayah Petron Lembah Klang, Sabah dan Sarawak, Desmond Tan. — JABATAN PENERANGAN SABAH