Pengarang Akhbar Tempatan Pengsan Selepas Diserang

Pengarang Akhbar Tempatan Pengsan Selepas Diserang

0
SHARE

KOTA KINABALU – Seorang ketua pengarang akhbar tempatan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai diserang individu tidak dikenali dalam kejadian di stesen minyak di Jalan Kolam, Luyang di sini awal pagi semalam.

Memetik laporan akhbar Kosmo, dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, polis menemui mangsa, Ketua Pengarang New Sabah Times, Pung Chen Choon ,65, dalam keadaan terbaring berdekatan kawasan pam tayar di stesen minyak terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, difahamkan semasa dalam perjalanan pulang dari Lido dekat sini, mangsa mendapati sebuah motosikal mengekori kenderaannya.

“Mangsa kemudian bertindak berhenti di stesen minyak tersebut dan suspek telah menyerangnya menggunakan topi keledar sehingga dia rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya hari ini.

Akibat hentakan itu mangsa lebam pada mata kiri dan bengkak rahang kiri.

Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.