Oleh: Ahmad Fazlan Shah bin Abd Rahman
TUARAN, 21 Sept – Peranan komuniti Bugis Sabah terus menyerlah dalam memacu pembangunan syiar Islam apabila Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Kampung Lok Batik, di sini siap dibina hasil kerjasama dan sumbangan warga Bugis setempat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kewujudan surau ini bukan sahaja menambah baik infrastruktur keagamaan di daerah Tuaran, malah mampu memperkukuh perpaduan, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkayakan identiti masyarakat Islam di negeri ini.
“Sabah merupakan negeri yang mempunyai bilangan masjid tertinggi di Malaysia dengan 1,127 buah masjid dan 1,222 buah surau. Rekod ini bukan untuk bermegah, tetapi satu amanah yang mesti dipertahankan melalui pengimarahan aktiviti keagamaan agar masjid dan surau benar-benar tersohor dengan pencapaiannya,” katanya dalam ucapan perasmian Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Kampung Lok Batik, di sini hari ini.
Hadir sama, penceramah undangan khas Ustaz Dr Das’ad Latif.
Beliau menegaskan, masjid dan surau bukan sahaja pusat ibadah, malah berfungsi sebagai institusi pendidikan, sosial, ekonomi, bahkan berpotensi menjadi destinasi pelancongan berasaskan keagamaan.
Mengulas mengenai peranan masyarakat majmuk di Sabah, Hajiji menzahirkan penghargaan terhadap komuniti Bugis yang memainkan peranan semangat kerjasama dan kebersamaan yang mendalam di kalangan masyarakat, serta sentiasa bersatu dalam membangunkan negeri.
“Hari ini, kita menyaksikan sebuah surau yang indah, berteraskan adat dan budaya komuniti Bugis, berdiri megah hasil kerjasama dan sumbangan mereka sendiri. Ini membuktikan bahawa dengan semangat kebersamaan, yang berat menjadi ringan dan yang sukar menjadi mudah,” ujarnya.
Dengan siapnya Surau Abu Hassan Ar-Raudhah, kata Hajiji, jumlah surau di daerah Tuaran meningkat kepada 38 buah, manakala masjid kekal sebanyak 31 buah, menjadikan keseluruhannya 69 buah rumah ibadah Islam di daerah tersebut.
Beliau juga yakin jumlah itu akan terus bertambah seiring dengan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat di Tuaran, yang terletak bersempadanan dengan Kota Kinabalu.






