Roadtax Mati, Tiada Insurans Nissan GTR35 Disita JPJ di Kota Kinabalu

Roadtax Mati, Tiada Insurans Nissan GTR35 Disita JPJ di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah motokar mewah jenis Nissan GTR35 disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah selepas didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.

Tindakan itu diambil dalam pelaksanaan Ops Luxury yang dijalankan sekitar ibu negeri sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sabah memaklumkan, sitaan dilakukan di lokasi pemeriksaan selepas pegawai mendapati kenderaan berkenaan gagal mematuhi keperluan asas undang-undang jalan raya.

“Tindakan sita di lokasi adalah sebagai peringatan bahawa penguatkuasaan tidak memilih jenis atau nilai kenderaan. Selagi melanggar peraturan, tindakan tetap akan dikenakan,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.

JPJ Sabah turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan cukai jalan dan insurans kenderaan sentiasa sah, khususnya menjelang musim perayaan.

“Pematuhan undang-undang bukan sahaja mengelakkan tindakan penguatkuasaan, malah melindungi keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya lain,” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, JPJ akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan jalan raya kekal selamat, teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.