KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, mendedahkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengesahkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan ketika itu bersetuju menerima pemberian khas sebanyak RM53.4 juta daripada kerajaan Persekutuan atas dasar “simpati” terhadap kedudukan kewangan negara.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada Khamis, Armizan menjelaskan bahawa Shafie melalui sidang medianya pada 14 Oktober lalu mengakui keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan beban hutang dan kekangan belanjawan kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 yang dianggarkan sekitar RM200 bilion.
Katanya, jumlah tersebut terlalu kecil berbanding hak 40 peratus yang dijamin kepada Sabah di bawah Perkara 112C, Bab IV, Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Warisan ketika itu bersetuju mengetepikan sementara hak 40 peratus tersebut atas alasan timbang rasa terhadap situasi kewangan kerajaan Persekutuan,” katanya sambil menyifatkan langkah itu sebagai bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, isu pemberian khas 40 peratus merupakan antara teras utama MA63 dan tidak seharusnya dijadikan bahan politik untuk menyerang pihak lain.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak negeri Sabah perlu dilakukan secara konsisten dan berasaskan prinsip undang-undang, bukan retorik politik semata-mata.
“Saya akan terus mengupas perkara ini kerana terlalu lama isu hak 40 peratus ditunggang untuk kepentingan politik. Bila diuji dengan kuasa, lain dicakap, lain dibikin. Boleh pula fikir federal-first, state’s rights can wait,” ujarnya.
Armizan turut menuntut penjelasan daripada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan ahli Mesyuarat Kabinet Negeri yang membuat keputusan menerima kadar RM53.4 juta tersebut.
Beliau mahu Madius menjelaskan sama ada keputusan itu benar dibuat atas dasar “timbang rasa” terhadap kekangan kewangan kerajaan Persekutuan dan sama ada laporan kewangan serta hutang kerajaan Persekutuan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada 16 Oktober 2019, yang menjadi asas kepada keputusan berkenaan.
Armizan berkata, beliau tidak akan melayan hujah-hujah tidak berasas atau serangan peribadi di media sosial.
“Setakat hujah cytro, saya tidak layan. Kita mahu pemimpin berani bertanggungjawab atas kenyataan mereka,” tegasnya.
Mengulas tindakan pihak tertentu yang menularkan semula rakaman video lama di Parlimen pada tahun 2023 yang kononnya menunjukkan beliau “disegarkan” oleh Madius, Armizan menjelaskan beliau sebelum ini memilih untuk berdiam diri atas dasar hormat.
Namun apabila video itu dikitar semula, beliau berkata wajar untuk menjawab dengan bukti dan kenyataan terkini daripada mereka sendiri.
“Lebih dua tahun saya biarkan kerana rasa hormat kepada orang lama. Tapi bila video lama dikitar semula, saya jawab bukan dengan kata-kata, tapi dengan kenyataan mereka sendiri,” katanya sambil mengumumkan penerbitan video baharu bertajuk “DSP Madius 2023 Vs DSP Madius 2025” yang akan menjelaskan perbezaan pendirian isu tersebut.
Armizan turut berseloroh mengenai pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 29 November 2025 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 dengan menyifatkan tempoh kempen masih panjang.
“Lama lagi kita kempen ni,” katanya secara bersahaja namun menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah di bawah MA63 akan kekal menjadi keutamaannya.






