SEMPORNA: Perjalanan menaiki bot dari jeti Semporna menuju ke Pulau Bum-Bum hanya mengambil masa sekitar sepuluh minit, namun panorama laut jernih dan deretan rumah atas air di sepanjang laluan cukup memukau mata.
Di sebalik keindahan itu, tersimpan rasa kecewa penduduk terhadap kepimpinan wakil rakyat sedia ada yang disifatkan gagal menunaikan janji pembangunan.
Pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan (N64) kini kembali menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 pada 28 November ini.
‘ADUN hanya muncul musim pilihan raya’

Bagi penduduk Mohd Juni Juhari, 65, wakil rakyat hanya muncul ketika musim pilihan raya, kemudian hilang selepas menang.
“Sepanjang masa lima tahun, ADUN tak nampak di pulau ini. Kami mahu buat perubahan, takkan nak tunggu macam ini. Musim pilihan raya baru nampak muka.
“Saya kenal Datuk Hajan, dia memang orang pulau ini. Dia sentiasa turun padang sejak awal lagi. Kalau calon PH, ini baru saya nampak sebab musim pilihan raya.
“Kalau Warisan selalu janji bulan dengan bintang, itu sahaja ada. Lepas pilihan raya, hilang sudah,” katanya.

Pandangan sama disuarakan Siti Norlela Abdul Halim, 37, yang berkata pelbagai janji ditabur pada pilihan raya lalu, namun tidak pernah menjadi kenyataan.
“Banyak la Warisan janji dulu, kalau menang nak buat perubahan di Sulabayan. Dah menang, tak ada pun.
“Warisan hanya tahu cakap sahaja, tapi tak tahu buat. Baru-baru ini sahaja nampak dia. Sebelum ni tak nampak pun.
“Datuk Hajan selalu datang, dalam sebulan dua tiga kali datang sini. Kami mahu wakil rakyat peramah, yang ambil berat. Saya mahu Datuk Hajan dari PGRS,” katanya.

Bagi generasi muda pula, Mohd Nazrul Adaha, 25, keperluan asas masih tidak mencukupi.
“Stesen minyak pun tiada, susah la nak jana pendapatan. Saya nak tengok perubahan dari segi pengangkutan antara pekan dan pulau, sebab itu penting untuk penduduk,” katanya.
Pulau indah, pembangunan belum ke mana

Pulau Bum-Bum dihuni kira-kira 30,000 penduduk, namun isu asas seperti pengangkutan, ekonomi dan peluang pekerjaan masih menjadi keluhan utama.
Cadangan menaik taraf pulau ini sebagai daerah kecil telah dibangkitkan sejak 2017, namun sehingga kini belum diwartakan secara rasmi, walaupun sudah menerima kelulusan dasar daripada kerajaan negeri terdahulu.
Penduduk menyifatkan status daerah kecil itu sebagai kunci kepada pembaharuan sebenar di pulau tersebut. Ia bukan sekadar soal nama atau status pentadbiran, tetapi menentukan sama ada pulau itu boleh menerima peruntukan dan tumpuan pembangunan secara langsung daripada kerajaan negeri.

Ketika ini, semua urusan rasmi, pentadbiran, kebajikan dan perkhidmatan kerajaan masih tertumpu di pekan Semporna, menyebabkan penduduk Pulau Bum-Bum terpaksa menyeberang laut hampir setiap kali berurusan — termasuk bagi mendapatkan surat pengesahan, rawatan kesihatan atau bantuan kebajikan.
Sekiranya diisytiharkan sebagai daerah kecil, Pulau Bum-Bum akan mempunyai pusat pentadbiran sendiri, termasuk pejabat kerajaan, balai polis, pusat kesihatan serta peluang membuka cawangan agensi pembangunan tempatan.
Ini juga akan memudahkan pelaksanaan projek infrastruktur seperti jalan raya, jeti tetap, bekalan elektrik dan air bersih di bawah pentadbiran tempatan sendiri.
Selain itu, status daerah kecil juga membolehkan peruntukan langsung disalurkan kepada pentadbiran pulau tanpa perlu melalui Semporna, sekali gus mempercepatkan proses pembangunan dan pembaikan kemudahan asas.
Penduduk turut berharap pengisytiharan daerah kecil itu mampu membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan aktiviti pelancongan serta menarik pelaburan kecil dan sederhana dalam sektor perikanan serta pengangkutan laut.
Usaha Datuk Hajan ke arah penaiktarafan Pulau Bum-Bum

Dalam masa yang sama, Datuk Abdul Hajan Gurimbang, pemimpin tempatan dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulabayan merupakan antara individu yang lantang memperjuangkan supaya Pulau Bum-Bum dinaik taraf sebagai daerah kecil.
“Status daerah kecil ini pernah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 2017, namun tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan terdahulu. Menjadikannya realiti hari ini adalah satu bentuk keadilan dan pemulihan harapan rakyat yang telah lama menunggu,” katanya.
Selain memperjuangkan penaiktarafan status, beliau turut mencadangkan pembangunan jeti feri tetap sebagai alternatif kepada projek jambatan Pulau Bum-Bum yang tertangguh sejak sekian lama.

“Pada dasarnya, Ketua Menteri dan Menteri Kewangan telah bersetuju. Sekarang kita menunggu pembinaan ‘landing feri’ untuk mudahkan pergerakan dan kemudahan masyarakat dari Pulau Bum-Bum ke Semporna,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan hanya dapat dicapai jika kawasan itu disokong oleh kerajaan negeri yang stabil.
“Kalau nak pembangunan, nak perubahan dan kestabilan, kita mesti berpaut dalam kerajaan. Hanya kerajaan yang boleh membangunkan kawasan seperti Sulabayan,” katanya lagi.
Rekod Jaujan semakin merosot

Kerusi DUN Sulabayan kini disandang oleh Datuk Jaujan Sambakong, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan). Beliau merupakan tokoh kanan politik Semporna dan telah berkhidmat selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013 — dua penggal bersama BN sebelum menyertai Warisan pada 2018.
Dalam tempoh itu, rekod undi Jaujan menunjukkan penurunan ketara. Pada 2013, beliau menang dengan majoriti 5,129 undi, diikuti 4,926 undi (2018) dan 3,245 undi (2020).
Penurunan hampir dua ribu undi dalam tempoh tujuh tahun menggambarkan kemerosotan sokongan terhadap beliau dan Warisan di kawasan ini.
PGRS dan PH beri saingan baharu
Menjelang PRN kali ini, PGRS dijangka menurunkan Datuk Abdul Hajan Gurimbang sebagai calon di Sulabayan, manakala Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Amanah Negara (Amanah) telah lebih awal menamakan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon.

Langkah awal PH itu memberi kelebihan dari segi kempen awal, namun pengaruh akar umbi GRS dilihat semakin kuat di kalangan pengundi Pulau Bum-Bum.
Dengan hanya beberapa minggu sebelum penamaan calon pada 15 November, Pulau Bum-Bum menjadi pentas penting untuk menguji kekuatan sebenar Warisan di kawasan tradisinya.
Penduduk kini tidak lagi mahu janji kosong, mereka mahu wakil rakyat yang benar-benar hadir, ada idea dan melalukan perubahan selepas pilihan raya.






