SIPITANG, SABAH – Ketua Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sindumin, Maria Samuil, mengesahkan telah meninggalkan parti dan bakal bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah akan datang bagi kawasan Sindumin.
Maria, yang juga bekas Exco Wanita PBRS dan berasal dari Kampung Kaban, Sipitang, berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan hasratnya untuk membawa suara masyarakat di peringkat akar umbi tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.
Beliau dikenali sebagai seorang usahawan insurans berjaya dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di daerah Sipitang.
Beliau menjelaskan bahawa keputusannya bertanding sebagai calon bebas adalah demi memperjuangkan kepentingan rakyat Sindumin.
“Sudah tiba masanya suara rakyat Sindumin benar-benar didengari dan dibawa terus ke Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada wartawan.
Langkah Maria menimbulkan persoalan sama ada beliau masih akan menerima sokongan daripada penyokong PBRS di kawasan tersebut memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada gabungan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat.
Namun, pemerhati politik tempatan berpendapat, jika Maria berjaya menarik sokongan akar umbi berdasarkan reputasinya dalam masyarakat, beliau berpotensi menjadi calon bebas yang mampu mencabar parti-parti besar di kawasan tersebut.






