KUDAT, SABAH – Sebuah kapal kargo bersama 16 kru termasuk kapten warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran di perairan dua batu nautika timur laut Tanjung Tajau Laut.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan dilakukan oleh aset rondaan Maritim Malaysia hasil pemantauan rutin di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk bersauh daripada pihak berkuasa pelabuhan.
“Kes disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana bersauh di perairan negeri tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dua kru termasuk kapten telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada.
Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan sebarang aktiviti di perairan Sabah.






