Aktifkan Belia Dalam Badan Persatuan Bagi Mengelak Gejala Negatif

Aktifkan Belia Dalam Badan Persatuan Bagi Mengelak Gejala Negatif

0
SHARE
Rizkam
Rizkam (bertopi) mengabadikan gambar kenangan bersama para belia di Kampung Tiong Monggis ( Sumber Foto: Ihsan UPPM Tamparuli )

TAMPARULI, SABAH – Golongan belia digalakkan untuk mengaktifkan diri dalam persatuan badan bukan kerajaan (NGO) sama ada belia atau sukan bagi menghindarkan diri daripada gejala negatif sekaligus melatih golongan muda menjadi pemimpin.

Pemaju Mukim di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berlata, dengan adanya persatuan di sesebuah kampung, para belia mampu menjadikan pergerakan berpersatuan bagi meningkatkan ekonomi, mendidik ahlinya di dalam kemahiran tertentu sekaligus merapatkan hubungan silaturahim di antara masyarakat.

“Melalui berpersatuan juga, para belia boleh berbincang sesama sendiri serta bertukar-tukar buah fikiran, dan paling utama adalah untuk memasyarakatkan penduduk kampung itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jersi Dan Bola kepada belia-belia sempena Hari Malaysia 2023, di Gelanggang Futsal Kampung Tiong Monggis, dekat sini pada Sabtu.

Katanya, menyertai sesebuah pertubuhan belia atau NGO tidak akan merugikan sesiapa, kecuali mereka tidak mengikuti peraturan atau melanggar perlembagaan persatuan tersebut.

“Berpersatuan adalah salah satu cara belia untuk melibatkan diri dalam pembangunan negara, menggunakan tenaga, masa dan idea bagi menaikkan nama persatuan, di samping membantu masyarakat memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tiong Monggis, Posiding Lansiu, menghargai sumbangan jersi dan bola futsal serta sedikit wang tunai sebagai suntikan kepada program belia di kampung tersebut.

“Dengan adanya sumbangan jersi dan bola ini, kami dapat mengadakan dan menyertai lebih banyak program sukan terutamanya sukan futsal,” katanya.