KOTA KINABALU, SABAH – Belia berperanan penting membina jambatan antara etnik dan mencerminkan keperibadian negara pada masa depan.
Menteri Pembangunan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata pembangunan negara lebih bermakna jika generasi muda diterapkan nilai murni dan keupayaan mengisi peranan kepimpinan.
“Sehubungan itu, generasi muda yang kaya dengan pelbagai daya cipta hasil kemudahcapaian ilmu menerusi teknologi internet yang kian mudah dicapai adalah amat penting menggerakkan negara ini ke hadapan.
“Bukanlah satu perkara yang memeranjatkan sekiranya dalam kalangan mereka ini muncul cendekiawan yang boleh menandingi golongan bijak pandai yang kita ada hari ini,” katanya semasa perutusan Hari Malaysia 2023.
Christina turut berkata nilai Malaysia Madani berpaksikan enam teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan penting dalam menghadapi cabaran globalisasi.
“Hanya rasa cinta terhadap negara membolehkan kita terus bekerjasama mempertahankan nilai keamanan untuk membangun dan menjaga kedaulatan negara.
“Saya yakin, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia akan berada di landasan kukuh melakar lebih banyak kejayaan.
“Sejarah menyaksikan, tidak mudah membentuk Malaysia, membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyuarakan hasrat penubuhan Malaysia semasa Persidangan Wartawan-Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, pada 27 Mei 1961,” ujarnya.
Beliau menambah tarikh keramat 16 September 1963 adalah bukti penyatuan niat dan tekad kesungguhan pejuang-pejuang bangsa terdahulu.
“Nama-nama pejuang pembentukan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh yang memberikan kita nikmat kemakmuran sehingga hari ini,” katanya lagi. — JABATAN PENERANGAN SABAH