Tanggungjawab Sabah Derma Darah Sesama Sendiri, Jangan Harap Bekalan Semenanjung, Sarawak –...

Tanggungjawab Sabah Derma Darah Sesama Sendiri, Jangan Harap Bekalan Semenanjung, Sarawak – Mandela

0
SHARE
Mandela
Ceasar Mandela (kanan) berbual bersama salah seorang penderma darah pada program itu

PENAMPANG, SABAH – Rakyat Sabah digesa mengamalkan tanggungjawab sosial iaitu untuk menderma darah dan agar tidak bergantung kepada bekalan dari Semenanjung dan Sarawak.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata adalah wajar bagi rakyat Sabah bertindak kerana ia merupakan negeri yang memerlukan darah paling banyak dengan penghidap talasemia teramai di negara.

“Derma sebanyak mungkin kepada tabung darah kita. Beritahu keluarga dan rakan-rakan. Jika anda tidak boleh menderma, cuba anjurkan program atau kempen derma darah.

“Sabah mengambil darah dari Sarawak dan Kuala Lumpur untuk menambah kekurangan di bank darah kita. Perkara ini sangat serius. Oleh kerana itu kita memerlukan lebih banyak kempen menderma darah.

“Ibu bapa, pasangan dan bakal pengantin, dapatkan saringan talasemia supaya keputusan yang bertanggungjawab dapat dibuat untuk mengelakkan kanak-kanak mengalami penyakit itu, sekaligus mengurangkan kadar pesakit di Sabah,” katanya.

Mandela berkata demikian selepas merasmikan kempen Hari Penderma Darah Sedunia Sabah di ITCC Mall di sini, semalam.

Beliau menambah bahawa ITCC berbangga menjadi tempat untuk program derma darah hampir setiap dua minggu yang mereka akan benarkan tanpa sebarang bayaran.

Program bermula 10 pagi hingga lima petang itu menyasarkan 200 penderma dan disambut serentak dengan 23 hospital di negeri ini.

Menurut Ketua Perubatan Transfusi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Dr Jamaludin Mail, kadar derma di Sabah hanya 2.25 peratus daripada keseluruhan penduduk.

“Setiap tahun kami hanya mampu mengumpul kira-kira 75,000 unit darah berbanding penggunaan yang melebihi 100,000 unit.

“Jika dilihat dalam perspektif, beliau berkata, Sabah mempunyai kira-kira 2,000 pesakit talasemia berbanding hanya 200 di Terengganu.

“Hospital Queen Elizabeth sahaja mengambil 700 pesakit talasemia bermakna mereka terpaksa menanggung lebih tiga kali ganda beban keseluruhan negeri Terengganu.

“Masyarakat digalakkan menderma setiap tiga bulan. Kempen kesedaran yang dipanggil Sabah DD (double donation) sedang dijalankan untuk mencapai 100,000 unit setiap tahun bagi memenuhi tahap ketersediaan.

“Remaja berusia 17 tahun dengan kebenaran ibu bapa mereka sehingga warga emas pada usia 70 tahun boleh menderma. Kami juga ada program menyasarkan pelajar enam atas bersama pelajar kesihatan,” katanya.