
JOHOR BAHRU –Seorang anggota polis ditukarkan serta-merta ke bahagian lain selepas didakwa bertindak mengasari orang awam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya mengesan video tular berdurasi 37 saat itu menerusi laman media sosial petang semalam dan pihaknya akan menjalankan siasatan segera.
“Pihak polis akan menyiasat perkara ini dengan terperinci, siasatan dalaman sedang dilakukan memandangkan video itu baharu saja tular hari ini.
“Kejadian itu berlaku pada bulan April tahun lalu terhadap suspek kes pecah kedai makan dan curi,” katanya.
Katanya, anggota terbabit ditukarkan ke jawatan yang tidak berurusan dengan orang awam.
Orang awam atau saksi diminta untuk membuat laporan jika mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.





