Rangka Manusia Ditemui Dalam Parit Berhampiran SMK Tawau

Rangka Manusia Ditemui Dalam Parit Berhampiran SMK Tawau

0
SHARE
Ipd
Lokasi penemuan rangka manusia dalam parit tepi jalan berhampiran SMK Tawau ( Sumber Foto: Ihsan IPD Tawau )

TAWAU, SABAH – Rangka tulang seorang manusia ditemui di dalam parit tepi Jalan Dr Yamamoto, berhampiran SMK Tawau, sini, pada kira-kira jam satu petang, Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, identiti mangsa mahupun jantinanya tidak dapat dikenal pasti memandangkan tiada dokumen ditemui dan mayat berkenaan hanya tinggal rangka.

Sebelum itu, polis menerima panggilan telefon menerusi MERS999 mengatakan terdapat mayat reput di dalam kebun berhampiran jalan SMK Tawau.

“Pasukan polis yang pergi ke lokasi mendapati mayat berkenaan di dalam parit sebelah kebun sayur berhampiran jalan utama Dr Yamamoto.

“Keadaan mayat sudah reput dan berbau serta hanya tinggal rangka dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh lama.

“Mangsa tidak berbaju hanya memakai seluar berwarna hitam,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Jasmin berkata, siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian adalah kawasan terbuka kebun sayur dan tepi jalan utama, namun setakat ini tiada saksi di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk proses bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.