202 Unit Chalet Baharu di Semporna

202 Unit Chalet Baharu di Semporna

0
SHARE
Christina
Christina (tengah) bersama Jamawi (dua dari kiri) dan Dr. Tang (dua dari kanan) ketika upacara pecah tanah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SEMPORNA, SABAH – Sebanyak 202 unit chalet baharu akan dibina di Semporna.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, projek pembangunan chalet berkenaan adalah merupakan hasil kerjasama antara Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. (SUDC) dan Borneo Semporna Resort.

“Sebanyak 202 chalet pelbagai saiz dan dilengkapi dengan kemudahan seperti restoran, kolam renang dan lobi akan dibina dalam fasa pertama di atas tanah laut seluas 41.44 ekar.

“Projek ini bukan hanya dapat mengembangkan aktiviti pelancongan di Semporna tetapi juga dapat memberikan manfaat ekonomi signifikan bagi masyarakat setempat.

“Dengan wujudnya pembangunan Borneo Semporna Resort ini, ianya cukup membuktikan keyakinan kepada pelabur-pelabur terhadap pulihnya sektor pelancongan negeri ini terutama di daerah Semporna,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pecah Tanah Borneo Semporna Resort di sini, pada Sabtu.

Beliau berharap agar projek ini tidak hanya menjadi penyumbang kepada pelabur tetapi juga memberi impak positif yang besar kepada kesejahteraan masyarakat sekeliling.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk melihat hasil dan perkembangan positif serta mapan daripada projek pembangunan ini.

“Saya pasti projek ini mampu memberi nilai tambah yang lebih baik kepada masyarakat sekitar terutama sekali dari segi peningkatan status ekonomi dan kualiti hidup rakyat melalui wujudnya peluang pekerjaan,” tambahnya.

Hadir sama, Pengerusi SUDC, Jamawi Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Semporna Resort Sdn. Bhd., Datuk Dr Tang Yong Chew dan Pegawai Daerah, Alexander Liew. — JABATAN PENERANGAN SABAH