KOTA KINABALU, SABAH – Majlis resepsi perkahwinan putera sulung Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin iaitu Datuk Al Hambra Juhar berlangsung sederhana tetapi meriah.
Dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, sahabat serta duta-duta asing, majlis resepsi pertama tersebut diadakan di Istana Seri Kinabalu, pada Sabtu malam.
Pada majlis berkenaan, Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni mendahului upacara merenjis kedua-dua mempelai, Al Hambra serta isteri, Datin Scarlett Suhaili Sambinding Abdullah.
Ia disusuli oleh besan, keluarga Al Hambra termasuk tiga anakanda Tun Juhar yang lain iaitu Datin Al Hanna Surya, 37, serta suami, Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar, Al Hanafi, 31, dan Al Hamaliyah Hasya, 21, serta keluarga Scarlett secara berselang-seli mengikut adat Melayu.
Upacara merenjis juga disertai Konsul Jenderal Republik Indonesia, Bapak Rafail Walangitan serta isteri, Oryza Sativa, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam, Awang Hipni Matarsad serta isteri dan Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Huang Shifang.
Selesai upacara merenjis, Al Hambra yang juga Timbalan Speaker DUN Sabah dan Scarlett menyempurnakan Upacara Memotong Pulut Kuning dengan disaksikan para tetamu di Dewan Istiadat.
Sementara itu, Tun Juhar dalam ucapan ringkasnya merakamkan penghargaan serta terima kasih atas kehadiran para jemputan serta keluarga ke majlis berkenaan.
Pada Jumaat, Hambra dan Scarlett selamat diijabkabul oleh Pegawai Agama Istana, Imbran Anggun di Masjid Negeri Kota Kinabalu. — JABATAN PENERANGAN SABAH