KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan perpisahan Panglima 5 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman.
Menurut Malek, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Juhar berkenaan serah tugas kepada Panglima 5 Divisyen yang baharu.
“Serah menyerah itu akan berlaku pada 11 September nanti, di mana Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin akan mengambil alih tugas sebagai Panglima 5 Divisyen yang baharu.
“Saya akan bertukar ke Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertempat di Kuala Lumpur,” ujarnya ketika ditemui media selepas kunjungan berkenaan di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Malek berharap agar segala yang diusahakan oleh Panglima Divisyen dan kerjasama termasuk kerjasama erat dengan kerajaan negeri dapat diteruskan untuk menentukan keselamatan negeri Sabah.
Beliau juga percaya Panglima yang baharu akan meneruskan tugas dan tanggungjawab dalam menentukan keselamatan negeri Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH