PTPS GABUNGKAN SEMUA PENAJA PENDIDIKAN DI SABAH: KM HAJIJI

PTPS GABUNGKAN SEMUA PENAJA PENDIDIKAN DI SABAH: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) di Dewan Auditorium, Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah melakar sejarah apabila menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini dibawah satu portal dikenali Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS), dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Hajiji berkata, portal itu adalah inisiatif baharu dibawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

Katanya, gabungan itu terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan dalam pendidikan iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Menurutnya, pembangunan portal yang bersepadu itu merupakan pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.

“Portal ini akan menjadi platfom rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui laman web masing-masing. Namun, melalui portal ini permohonan akan digabungkan dan diintegrasikan di dalam satu portal.

“Justeru pelancaran portal ini memberi impak yang sangat positif kerana memudahkan pelajar untuk memohon tajaan dan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kursus atau tempat pengajian.

“Selain itu, ia dapat memastikan bantuan diberikan secara efisien dan berkesan serta mengatasi pertindihan penajaan dengan memberikan peluang yang adil kepada pelajar serta menambah lagi bilangan pelajar yang mendapat bantuan kewangan dan seterusnya menyokong pembangunan modal insan negeri secara efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PTPS di Dewan Auditorium, Menara Kinabalu pada Selasa.

Hajiji berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap anak-anak Sabah yang tidak mempunyai tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program Roadshow diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri selaku exco pendidikan bersama badan penaja dan pemberi bantuan pendidikan di negeri Sabah terdiri daripada JPAN, YS, MUIS, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.