NGO Gerakan Malaysia Mahu SPRM Siasat Individu Didakwa Tawar Wang Kepada Ahli...

NGO Gerakan Malaysia Mahu SPRM Siasat Individu Didakwa Tawar Wang Kepada Ahli Politik Pembangkang

0
SHARE
Fadli (kiri) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Putatan...

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Malaysia, mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang didakwa menawar wang kepada ahli politik pembangkang supaya keluar parti dan menyertai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semalam, Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal dalam sebuah sidang media berkata faktor Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Yusof Yacob, keluar parti adalah selepas ditawar RM1 juta dan jawatan oleh individu terbabit.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal…

Presiden Gerakan Malaysia, Dato’ Fadli Fathullah menafikan kenyataan tersebut sambil berkata ianya hanya fitnah semata-mata.

“Kami mahukan pihak berwajib seperti SPRM dan Polis melakukan siasatan berhubung kes ini yang boleh mencetus situasi pergolakan politik dengan mencemari kredibiliti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor termasuk imej Kerajaan Negeri selain mengganggu urusannya…

“Walau bagaimanapun, Gerakan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak. Tindakan wajar harus diambil jika perkara ini didapati berpunca daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan sendiri,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Putatan tengah hari tadi.

Fadli berkata beliau juga telah menyampaikan laporan ke SPRM Sabah untuk menyiasat kes tersebut pada Sabtu.

Katanya hal itu tidak boleh diuar-uarkan melalui media tanpa kesahihan atau penyiasatan teliti terlebih dahulu.

“Mungkin juga ada pihak dari kerajaan yang tidak suka akan pentadbiran semasa dan menjadi musuh dalam selimut dan perkara ini tidak boleh dibiarkan kepada spekulasi orang ramai,” tegasnya.

Beliau menasihatkan semua pihak yang berada dalam arena politik untuk bersikap lebih positif dan professional serta matang terutamanya apabila berada pada sisi pembangkang.

Kepada orang ramai, beliau juga menasihati untuk tidak menghiraukan kenyataan Shafie dan sebaliknya membiarkan perkara itu disiasat oleh pihak berkuasa.

Fadli juga yakin NGO lain dari seluruh daerah Sabah bakal menyusul dalam membuat laporan polis masing-masing.

Selain itu, beliau turut mendesak SPRM untuk membuka semula siasatan kes penyelewengan dana sebanyak RM 1.5 bilion semasa beliau semasa menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW).