Kerja Pemasangan Bumbung Kapayan Square Bermula, Lonjak Usaha Pemerkasaan Usahawan

Kerja Pemasangan Bumbung Kapayan Square Bermula, Lonjak Usaha Pemerkasaan Usahawan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerja-kerja pemasangan bumbung di Kapayan Square kini sedang dilaksanakan sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam usaha menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab sosial, budaya dan keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang berkata, pelbagai program pemerkasaan usahawan yang dilaksanakan selama ini, khususnya melibatkan wanita dan belia, adalah persediaan jangka panjang untuk mengisi pembangunan Kapayan Square.

“Semua program seperti latihan memasak, jahitan, penanaman cendawan, pertanian sayur dan kompos bukan dibuat secara rawak.

“Ia adalah strategi ke arah visi lebih besar untuk memastikan komuniti kita bersedia apabila Kapayan Square menjadi hab keusahawanan tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Kapayan Square berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan komuniti terdekat kepada para pengunjung yang tiba di Sabah.

Apabila siap sepenuhnya, pemasangan bumbung itu bakal menyediakan ruang lebih selesa dan terlindung daripada cuaca untuk kegiatan jualan, acara kebudayaan serta menarik perhatian penduduk tempatan dan pelawat.

Jannie berkata, keusahawanan sosial adalah antara bentuk pekerjaan yang paling mampan dalam ekonomi masa kini yang menekankan kreativiti dan daya tahan.

“Apabila masyarakat mampu mencipta nilai sendiri, sama ada melalui makanan, kraftangan atau pertanian, mereka memperoleh kebebasan ekonomi yang berkekalan,” katanya.

Projek pemasangan bumbung tersebut dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan menjadi bukti kepada perancangan jangka panjang yang semakin direalisasikan.

Beliau menambah bahawa kerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut diteruskan bagi memastikan cadangan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan pasar baharu dapat dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dengan projek infrastruktur kini bergerak ke hadapan, Kapayan dilihat berpotensi muncul sebagai pintu masuk ekonomi dan budaya Penampang, hasil gabungan perancangan mampan dan pemerkasaan komuniti.