KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 12 kontena mengandungi 348,000 kilogram daging beku dianggarkan bernilai RM3.4 juta selepas didapati gagal diisytiharkan mengikut tempoh yang ditetapkan, selain dipercayai melanggar larangan kemasukan produk makanan dari China dan Hong Kong ke Sabah.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi berkenaan merupakan susulan kepada tindakan terdahulu yang menyaksikan 14 kontena ditahan pada Julai lalu.
Beliau berkata, 12 kontena terbabit tidak dapat diperiksa sebelum ini kerana masih berada dalam tempoh 30 hari yang diberikan kepada pemilik untuk membuat pengisytiharan barangan.
“Selepas tempoh itu tamat dan tiada sebarang pengisytiharan dibuat, kita menggunakan kuasa yang ada untuk menjalankan pemeriksaan. Hasilnya, 11 kontena didapati mengandungi daging ayam beku manakala sebuah lagi mengandungi daging khinzir.
“Kesemua rampasan ini membabitkan kira-kira 348,000 kilogram dengan nilai dagangan dianggarkan RM3.4 juta. Selain gagal membuat pengisytiharan, terdapat juga kontena yang disyaki membuat pengisytiharan palsu, sekali gus mempunyai unsur penipuan,” katanya pada sidang media di Gudang / CFS Pelabuhan Sepanggar hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 133(1), Akta Kastam 1967, membabitkan kesalahan gagal membuat akuan penuh dan benar serta mengemukakan dokumen atau perakuan palsu.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, sejak April lalu, AKPS telah menahan hampir 40 kontena membawa pelbagai produk daging beku dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM6.7 juta.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan turut diperluaskan ke seluruh negara, termasuk di Sarawak apabila AKPS Bintulu baru-baru ini berjaya menahan sembilan kontena dengan nilai rampasan kira-kira RM3.14 juta atas kesalahan di bawah akta yang sama.
Mohd Shuhaily turut memuji kerjasama agensi Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang giat menjalankan operasi bersepadu di Tawau dan Sandakan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau menjelaskan, kebanyakan kontena yang ditahan gagal dikenal pasti pemiliknya kerana tiada pihak tampil membuat tuntutan selepas gagal mengemukakan pengisytiharan.
“Usaha kita kini adalah mengenal pasti individu atau ejen yang boleh dikaitkan dengan penghantaran ini supaya tindakan pendakwaan dapat diambil. Hanya melalui pendakwaan, kegiatan seperti ini boleh dihentikan,” katanya.
Mengulas mengenai modus operandi sindiket, Mohd Shuhaily berkata pihaknya mendapati terdapat cubaan mengelirukan pihak berkuasa melalui maklumat dalam manifest dan deklarasi kargo, termasuk mengisytiharkan barangan secara umum seperti makanan sejuk beku atau sayur-sayuran.






