KOTA KINABALU, SABAH – Sejak Datuk Seri Shafie Apdal kehilangan jawatan Ketua Menteri Sabah, beliau dilihat semakin keliru dan kelihatan agak bodoh dalam melontarkan pandangan khususnya melalui program bersama rakyat secara maya yang dibuat melalui laman sosial Facebook rasmi miliknya, demikian menurut Gerakan Pembela Rakyat Sabah (PEMBELA) dalam satu kenyataannya.
Mohd Shafie Apdal, bekas Ketua Menteri Sabah dalam program bersama rakyat secara maya pada Sabtu baru-baru ini berkata, tindakan kerajaan negeri Sabah memberikan komputer riba (laptop) untuk pelajar adalah satu pembaziran.
Sebaliknya Shafie berkata, sepatutnya wang itu dibelanjakan bagi pembelian vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada pelajar dan guru supaya sekolah dapat dibuka semula.
Shafie turut betkata; “beli harga berjuta-juta, kita tidak pernah belajar daripada kesilapan dulu. Saya masih ingat dulu ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Pendidikan, kita beli komputer hingga RM700 juta, selepas itu kita tengok ke mana komputer ini yang diedar di kampung-kampung.”
“Ketika itu, saya menteri kampung (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), saya lawat Sarawak, Sabah di pulau-pulau, lepas itu saya tanya guru besar kenapa komputer disimpan di bilik stor, mereka katakan tiada elektrik bagaimana komputer boleh digunakan.”
Untuk rekod, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 06 Jun yang lalu telah membuat pengumuman bahawa Kerajaan Negeri Sabah selepas mendapat kelulusan Kabinet akan mengagihkan sebanyak 10,000 komputer riba (Laptop) daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada penghujung tahun ini bermula 19 Julai hingga 18 Oktober.
Menurut Gerakan Pembela Rakyat Sabah (PEMBELA) dalam satu kenyataan balas, kenyataan terkini oleh Shafie mempertikaikan pemberian komputer riba kepada 10 ribu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM jelas amat mengecewakan.
“Kami menjangkakan Shafie mengeluarkan kenyataan menyokong pemberian komputer riba tersebut dan berharap agar beliau mengeluarkan kenyataan meminta 10 ribu unit tersebut ditambah untuk kegunaan anak-anak di Sabah, sebaliknya Shafie berkata pemberian komputer tersebut adalah satu pembaziran..
“Shafie sepatutnya faham bahawa pemberian vaksin kepada rakyat Sabah oleh Kerajaan Persekutuan sedang berjalan di seluruh Sabah, malahan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini memberikan jaminan untuk membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” kata PEMBELA.
PEMBELA berkata lagi; “Kerajaan Persekutuan kini dalam rangka memberi vaksin mengikut fasa dan daripada maklumat yang kita perolehi menyatakan Fasa Ketiga bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 yang mana penerima vaksin adalah penduduk berumur 18 tahun ke atas.”
“Vaksin amat penting, tetapi dalam masa yang sama, pendidikan anak-anak Sabah juga penting”.
Shafie mungkin tidak mengikuti perkembangan semasa di mana ketika ini program pembelajaran secara atas talian (online) ataupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedang berjalan.
“Sekurang-kurangnya sementara menungggu pemberian vaksin anak-anak akan terus belajar, sebaliknya tindakan Shafie menghalang pemberian komputer riba kepada anak-anak Sabah jelas menunjukkan betapa terdesaknya Shafie mencari isu…
“Shafie sepatutnya merasa malu di mana punca utama masalah elektrik termasuk pencawang internet di luar bandar sehingga menyebabkan pelajar tidak mampu menggunakan komputer dengan baik disebabkan kegagalan Shafie menunaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selama 8 tahun.
“Shafie telah diberikan amanah menjadi Menteri KKLW dengan peruntukan berbillion ringgit tetapi Shafie telah menganak tirikan negeri Sabah walaupun Shafie berasal dari Sabah.
“Lihatlah Semporna tidak ada satu pembangunan berjaya dibangunkan di sana, sebaliknya semasa Shafie menjadi Ketua Menteri projek yang dibangga-banggakan oleh Shafie hanyalah apabila restoran Mc Donald’s membuka cawangan di Semporna,” ujar PEMBELA lagi.