KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Kesatuan Guru Sabah (STU Sabah) menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi menampung kekurangan guru terutama di negeri Sabah, Sarawak, Johor & Selangor.
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dalam sebuah sidang media baru-baru ini mengatakan perkara ini sudah lama berlarutan.
Kekurangan tersebut juga merujuk kepada keperluan guru yang mengajar di sekolah sekarang didapati tidak dapat mengikut opsyen mereka semasa mengikuti kursus di institusi perguruan dulu kata Presiden STU Sabah Encik Said Saidi.

“Walau bagaimanapun, kesatuan berharap agar pra-syarat pengambilan khas guru secara one-off tersebut diberikan keutamaan kepada calon lokaliti atau anak jati setempat bagi mengisi tawaran pengambilan guru tersebut…
“Hal ini adalah untuk mengelakkan berlaku perpindahan guru dan menyebabkan sekolah kehilangan guru yang berpengalaman dan mengikut opsyen dipilih semasa di institusi pengajian guru dahulu,” katanya.
Selain daripada itu, STU Sabah berharap pihak kementerian juga memberikan perhatian kepada capaian internet di kawasan luar bandar yang masih lagi bermasalah dan memberikan kesukaran kepada guru dan murid di luar bandar bagi melaksanakan Pembelajaran di Rumah (PDPR).
“Diharapkan juga agar lebih banyak kursus peningkatan kemahiran ICT dan pendigitalan pendidikan dapat diperluaskan di kalangan guru untuk memperkasakan penyampaian pengajaran PDPR agar lebih berkesan dan dapat menarik minat murid-murid mengikuti PDPR secara online mahupun offline.”
Katanya pihak kesatuan juga menyokong penuh saranan Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrita Fore, baru-baru ini yang mengesyorkan agar guru diutamakan untuk memperolehi vaksin COVID-19, selepas petugas barisan hadapan.
“Keutamaan pemberian vaksin tersebut akan dapat meningkatkan tahap keyakinan guru-guru dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah apabila dibuka kelak demi meningkatkan lagi system Pendidikan di Malaysia,” kata Saidi.