RM28 Juta Kerugian Akibat Penipuan Dalam Talian

RM28 Juta Kerugian Akibat Penipuan Dalam Talian

0
SHARE
Arifin
Ernywati (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Arifin (tiga dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak RM28 juta kerugian direkodkan akibat penipuan dalam talian di Sabah sehingga September tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jumlah tersebut melibatkan 1,243 kes dan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

“Perkara ini jelas menunjukkan bahawa aspek keselamatan siber perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk penjawat awam.

“Walaupun amaun kerugian di negeri ini masih kecil berbanding jumlah di seluruh negara, namun kita perlu mengambil tindakan awal dan proaktif agar dapat meminimumkan risiko dan mengawal sebarang insiden keselamatan siber daripada merebak dan membesar sehingga sukar dikawal.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk memperkasakan aspek keselamatan siber.

“Bagi menyokong penyampaian perkhidmatan, bahagian khusus ditubuhkan di Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) yang menguruskan ekosistem keselamatan siber pada tahun 2010 dan turut disokong dengan kerjasama dengan syarikat ICT milik kerajaan negeri iaitu Sabah Net,” katanya ketika merasmikan BIMP-EAGA Cyber Security Summit 2023 di sini, pada Selasa.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri turut memberikan tumpuan khusus terhadap isu penipuan dalam talian melalui siri Program Kesedaran Jenayah Siber Dalam Kalangan Penjawat Awam bermula pada tahun 2022.

“Setakat ini enam program telah dilaksanakan di sekitar Keningau, Sandakan, Tawau serta Kota Kinabalu yang telah mencapai sekitar 700 penjawat awam dan perancangan juga sedang dibuat untuk melebarkan skop perkara ini ke peringkat orang awam melalui usaha sama dengan para rakan strategik.

“Dalam memastikan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan digital yang menyeluruh dan selamat, semua penjawat awam wajar proaktif dan pantas dalam mempelajari ilmu dan kemahiran digital,” jelasnya.

Persidangan selama dua hari anjuran JPKN dan Sabah Net Sdn. Bhd itu disertai oleh kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada Pemimpin Digital, Ketua Pegawai Digital (CDO) dan Pegawai Keselamatan ICT (ICTSO) dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan para jemputan dari rantau BIMP-EAGA.

Program tersebut diadakan bertujuan bagi menyumbang kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam agar lebih berkualiti dan selamat kepada masyarakat.

Hadir sama, Pengarah JPKN Sabah Ernywati Dewi Abas yang juga Ketua Pegawai Keselamatan ICT Negeri Sabah dan Penasihat Jawatankuasa Penganjur BIMP-EAGA Cyber Security Summit 2023. — JABATAN PENERANGAN SABAH