221 Individu Terima Darjah Kebesaran Negeri Sabah

221 Individu Terima Darjah Kebesaran Negeri Sabah

0
SHARE
Kenny
Tun Juhar memakaikan selepang PGDK kepada Kenny (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri hari ini, menyaksikan seramai 221 individu menerima anugerah masing-masing.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” kepada enam penerima antaranya, Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Datuk Kenny Chua Teck Ho dan Presiden Persatuan Kinabalu Singh Sabha Sabah, Datuk Ram Singh.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Pengarah Urusan Unimekar Sdn Bhd, Datuk Dr Kok Tiong Chee @ Ah Chau dan Datuk Ibrahim Linggam.

Istiadat pengurniaan sempena Sambutan Ulang Tahun Rasmi Ke-70 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah itu juga berlangsung dengan penganugerahan 21 Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Walter Joseph Kenson.

Pada sesi keempat istiadat tersebut, 53 individu menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan antara penerimanya ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Faradillah Abdul Rani dan Penolong Akauntan Kementerian Kewangan Negeri, Sohbierah Ghulabdin.

Sementara itu, turut disampaikan anugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada 57 penerima dan salah seorang penerimanya ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Kota Kinabalu, Ts. Babby Freskayani @ Izyani Kaliwon.

Istiadat pengurniaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam sesi keempat yang turut diserikan dengan kehadiran isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu.

Selain itu, Jurufotografi Jabatan Penerangan Sabah iaitu Johny George Kimlon merupakan salah seorang yang dikurniakan daripada 61 penerima Bintang Kinabalu (BK), diikuti dengan penganugerahan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) kepada 23 penerima antara yang menerima ialah Anggota Pancaragam Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Frankly R Galayan. — JABATAN PENERANGAN SABAH