Impian 30,000 Penduduk Pulau Bum-Bum Menunggu Jadi Realiti

Impian 30,000 Penduduk Pulau Bum-Bum Menunggu Jadi Realiti

0
SHARE

KOTA KINABALU, 17 Oktober – Cadangan menaik taraf Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil disifatkan bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi manifestasi keprihatinan terhadap rakyat yang telah lama terpinggir daripada arus pembangunan.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah N64 Sulabayan, Datuk Abdul Hajan Gurimbang, berkata pelaksanaan penaiktarafan itu juga bakal menghidupkan semula janji lama kerajaan terhadap lebih 30,000 penduduk pulau berkenaan.

“Status daerah kecil ini pernah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada tahun 2017, namun tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan terdahulu. Menjadikannya realiti hari ini adalah satu bentuk keadilan dan pemulihan harapan rakyat yang telah lama menunggu,” katanya.

Abdul Hajan menjelaskan, dengan lebih 50 kampung dan populasi sekitar 30,000 orang, Pulau Bum-Bum sebenarnya sudah memenuhi kelayakan demografi untuk dinaik taraf sebagai daerah kecil. Langkah itu, katanya, akan memberi suara lebih kuat kepada penduduk dalam perancangan dasar dan pembangunan negeri.

Beliau berkata, penaiktarafan Pulau Bum-Bum mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan menyeluruh termasuk infrastruktur, ekonomi serta kemudahan asas yang lebih tersusun.

“Dengan status daerah kecil, Pulau Bum-Bum akan mempunyai pejabat pentadbiran sendiri yang memudahkan pelaksanaan projek pembangunan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan sistem komunikasi,” katanya.

Menurut beliau, masalah kemudahan asas yang berlarutan sejak sekian lama dapat ditangani dengan lebih berkesan apabila wujud pentadbiran sendiri di pulau berkenaan.

Selain itu, Abdul Hajan menambah, penaiktarafan tersebut akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, membuka peluang pelaburan serta memajukan sektor pelancongan, perikanan dan pertanian.

Beliau turut menyatakan bahawa cadangan pembinaan pelabuhan dan perkhidmatan feri tetap akan memperkukuh hubungan antara Pulau Bum-Bum dan tanah besar Semporna, sekali gus memudahkan urusan perdagangan dan logistik.

“Saya yakin penaiktarafan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk. Mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada Semporna untuk urusan rasmi, kesihatan, pendidikan dan kebajikan,” ujarnya.

Abdul Hajan menegaskan bahawa impian menjadikan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil perlu direalisasikan segera agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh penduduknya.

Untuk rekod, pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum sepanjang kira-kira 1.4 kilometer dengan kos dianggarkan RM430 juta pernah diusulkan sejak 2012 namun masih belum direalisasikan.