SHAH ALAM, 17 Oktober – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan senarai penuh calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada awal bulan depan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya menyasarkan kurang daripada 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi parti itu.
Namun, kata Ahli Parlimen Sepanggar itu, ia akan diputuskan sepenuhnya oleh kepemimpinan tertinggi menerusi Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini, kita melihat antara 21 hingga 23 calon kerusi DUN daripada PH untuk bertanding.
“Kita akan kemukakannya namun senarai calon yang dipersetujui itu akan diumumkan presiden parti pada awal November nanti di Sabah,” katanya ketika ditemui pada program Festival Bahasa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH sudah dimuktamadkan serta akan diumumkan pada hari penamaan calon nanti.
Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jumlah kerusi antara kedua-dua gabungan itu telah dipersetujui setakat ini namun tidak mengumumkan lebih lanjut mengenainya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 15 November manakala tarikh undi awal pada 25 dan tarikh undi pada 29 bulan sama.
Mengulas lanjut, kata Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, PKR kan menampilkan kombinasi calon termasuk daripada muka baharu, teknokrat dan bekas kakitangan awam serta kepimpinan di cabang-cabang.
“Semua jentera kita dikerah untuk turun ke padang dan lapangan sejak awal lagi sebagai persediaan pilihan raya itu,” ujarnya.






