35 Kunci Rumah Mesra SMJ Diserahkan Di Karanaan

35 Kunci Rumah Mesra SMJ Diserahkan Di Karanaan

0
SHARE
Masidi
Masidi (tiga dari kiri) menyerahkan simbolik kunci rumah kepada seorang penerima ( Sumber Foto: Ihsan MOF Sabah )

RANAU, SABAH – Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun telah menyerahkan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 23 ketua isi rumah (KIR) daripada DUN Karanaan, di sebuah majlis di Kampung Pahu, sini, semalam.

Secara keseluruhan, sebanyak 35 buah Rumah Mesra SMJ telah siap dibina bagi DUN Karanaan, tetapi hanya 23 KIR sempat menghadiri majlis penyerahan kunci dan secara simbolik mewakili baki 12 KIR yang tidak dapat hadir.

Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata kerajaan negeri tetap komited kepada usaha melaksanakan Rumah Mesra SMJ kepada keluarga-keluarga yang memerlukan sebanyak 20 unit setahun bermula dari tahun 2022.

“Majlis penyerahan 23 kunci rumah SMJ yang bernilai RM80,000 seunit merupakan bukti kukuh keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, terutamanya kepada mangsa-mangsa bencana dan warga rentan.

“Saya berharap kesemua 60 unit Rumah SMJ yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dapat disiapkan mengikut jadual supaya rumah-rumah ini dapat diserahkan kepada penerima seberapa cepat yang boleh,” katanya.

Kerajaan negeri telah melancarkan program Rumah Mesra SMJ pada 28 September 2022 sebagai inisiatif mengeluarkan rakyat dari kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik bagi golongan B40.

Rumah Mesra SMJ ini mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu golongan yang berada di bawah garis kemiskinan di Sabah memiliki rumah secara percuma.