KOTA KINABALU: Sabah dijangka mengalami hujan berterusan pada tahap waspada sehingga esok, disebabkan kemasukan angin monsun yang membawa cuaca lembap, ribut petir, dan hujan lebat berpanjangan, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip.
Dalam amaran terkini yang dikeluarkan petang ini, kawasan terlibat termasuk Pantai Barat seperti Ranau dan Kota Belud, Sandakan (Telupid, Beluran, dan Sandakan) serta Kudat.
Beliau berkata, selain amaran hujan berterusan, MetMalaysia juga mengemas kini amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan yang berkuat kuasa sehingga Sabtu.
“Analisis model ramalan cuaca menunjukkan cuaca lembap yang berpotensi membawa ribut petir dan hujan lebat di Sabah dan Sarawak bermula hari ini hingga Isnin depan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, atau media sosial jabatan itu, serta boleh menghubungi talian hotline di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan.






