Teruskan Bekerja Keras Demi Sabah Dan Rakyat – Joachim

Teruskan Bekerja Keras Demi Sabah Dan Rakyat – Joachim

0
SHARE
Joachim
Joachim (tengah) menerima borang keahlian sambil disaksikan oleh Sahrol (dua dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

TAWAU, SABAH – Perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) masih relevan dalam memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak orang Sabah, kata Timbalan Presiden PBS, Datuk Joachim Gunsalam.

Kerana itu, beliau menyeru semua ahli parti untuk terus bekerja keras bagi memastikan parti terus kuat dalam perjuangan untuk Sabah dan Sabahan.

“Kita kena bekerja keras untuk menambah keahlian baharu dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan PBS termasuk di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-38 PBS Bahagian N.83 Sebatik yang diadakan di Kampung Murut, Ulu Kalabakan, di sini, Sabtu lepas.

Seramai lebih kurang 380 orang ahli perwakilan dan pemerhati menghadiri AGM tersebut.

Dalam mesyuarat itu, Joachim turut mengalu-alukan kemasukan seramai 661 ahli baharu PBS.

Cawangan yang menerima keahlian baharu masing-masing ialah cawangan Jalan Polis, 70 orang; Jalan Masjit, 102 orang; Kampung Mangga (90); Pintu Gerbang (100); Jalan SK Kalabakan (110); Jalan Atas Bukit Kalabakan (89); dan Kg Ulu Murut Kalabakan (100) orang.

Joachim berkata, PBS juga bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya diadakan pada bila-bila masa.

Beliau juga yakin Ibu Negara Indonesia iaitu Nusantara apabila ia sudah beroperasi kelak akan memberikan impak signifikan kepada rakyat di kawasan Sebatik dan seluruh Tawau, termasuk Ulu Kalabakan dalam aspek pembangunan.

“Landskap ekonomi seluruh daerah ini akan berubah dan ahli-ahli PBS di sini perlu mengambil peluang ini untuk memajukan diri, keluarga dan parti,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti; Naib Exco Pergerakan Pemuda, Shahrun Nidzam Sharoom; dan Setiausaha PBS Kundasang, Japli Sami.