KOTA KINABALU, SABAH – “Sebahagian daripada masyarakat melihat Palestin ini isu agama sedangkan Palestin terdiri daripada berbilang agama.”
Demikian tegas Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad ketika mengulas mengenai penganjuran Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin yang berjaya menghimpunkan 10,000 umat Islam, Sabtu lepas.
Antara yang hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.
Menurutnya, serangan rejim Israel ke atas Hospital Baptis Al-Ahli Arab, sekolah-sekolah, perumahan dan sebagainya merupakan isu kemanusiaan dan kezaliman terhadap golongan yang tidak berdaya terutama warga emas, wanita serta kanak-kanak.
“Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis bukan sekadar melibatkan umat Islam, pengeboman hospital Kristian yang berpengaruh di Gaza baru-baru ini merupakan kezaliman yang amat dahsyat kerana semestinya orang yang berada di hospital terdiri daripada berbilang agama dan bangsa mereka di sana.
“Di samping itu, sekolah-sekolah, kawasan perumahan juga menjadi sasaran serangan dan ia secara direct menganiaya orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak paling dahsyat…ia mengorbankan ribuan nyawa dan puluhan ribu orang cedera.
“Malah, terkini serangan (baru-baru ini) dianggap sebagai pengeboman secara menyeluruh ke atas bumi Gaza,” jelas beliau.
Oleh sebab itu, kata Sapawi, penganjuran perhimpunan tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat mengenai pentingnya usaha mengukuhkan perpaduan, keharmonian serta keamanan di negara ini.
“Dengan adanya perhimpunan ini, kita cuba menimbulkan kesedaran menyeluruh walaupun ringkas sebagai satu petanda rakyat Sabah turut memberi sokongan penuh kepada penentangan kekejaman Israel.
“Ini kita gambarkan supaya jangan berlaku di negara kita sebab ia boleh berlaku bila-bila masa jika tidak ada keseimbangan dari segi kepimpinan dan pemikiran yang ekstrem.
“Toleransi, perpaduan dan permuafakatan itu adalah tanggungjawab kita bersama dan harus dipertahankan dalam konteks hubungan kemanusiaan, kemasyarakatan untuk memudahkan pihak pemerintah mengatur kerangka pembangunan negara, membangunkan ekonomi, pendidikan, kesihatan yang dapat mensejahterakan rakyat,” dedahnya.
Mengulas lanjut, ujar Sapawi, Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin merupakan anjuran USIA bersama gabungan 12 NGO dengan sokongan daripada jabatan serta agensi negeri dan persekutuan.
“Program ini merupakan kerjasama dengan 12 NGO dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan secara langsung dan kita libatkan kerajaan negeri melalui MUIS serta sokongan daripada Jabatan Penerangan dan RTM yang biasa mengendalikan program-program berimpak tinggi kepada masyarakat.
“Sebenarnya program ini adalah rentetan daripada program kebangsaan yang berkaitan langsung dengan isu yang masih panas melanda rakyat Palestin, sekail gus menjadi kecaman menyeluruh kerana kita memfokuskan program ini sebagai program kemanusiaan,” tambah beliau.
Sementara itu, warga Palestin yang berada di negara ini, Pensyarah di Akademi Profesional Nour El Amaal Terengganu, Ahmad Ibni Sami Al Qudsi memberi respon, jumlah keseluruhan RM355,243 termasuk sumbangan RM300,000 daripada kerajaan Negeri Sabah melalui sumbangan Tabung Kemanusiaan Aman Palestin, merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan rakyat di negeri ini.
Beliau yang juga warga Palestin mengajar Al-Quran dan Ulum Diniah di negara ini sejak 10 tahun lalu agak fasih berbahasa Melayu memaklumkan, sumbangan yang diterima bukanlah yang pertama dari rakyat Sabah dan mengesahkan sumbangan dari rakyat Malaysia telah diterima oleh kerajaan Palestin.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pengeboman terhadap hospital di Utara Gaza itu adalah kejam serta tidak berperikemanusiaan dan Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan menggesa agar serangan dihentikan serta-merta. — JABATAN PENERANGAN SABAH