KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata ketidakseimbangan gred kepimpinan di Jabatan Pendidikan dan Kesihatan Sabah menjejaskan moral timbalan pengarah.
Beliau berkata di Jabatan Pendidikan Sabah, timbalan pengarah hanya memegang Gred 54 manakala pengarah bergred Jusa B tanpa jawatan Jusa C sebagai laluan kerjaya.
“Jadi laluan kerjaya terputus. Ini boleh menjejaskan moral dan tidak adil,” katanya.
James berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan mencadangkan sekurang-kurangnya dua jawatan Jusa C diwujudkan di Jabatan Pendidikan Sabah, selain memaklumkan situasi sama pernah berlaku di Jabatan Kesihatan Sabah sebelum ini.
Beliau turut menggesa kerjasama lebih kukuh antara pegawai persekutuan dan negeri.
“Saya tidak mahu pegawai persekutuan yang ditempatkan di Sabah tidak menghormati pegawai tempatan, dan sebaliknya.
“Hanya dengan saling menghormati barulah isu pembangunan dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.
Mengenai sekolah daif, khususnya di luar bandar seperti SK Lajong, Kudat, James berkata beliau akan turun padang dan melaporkan keadaan sebenar kepada kementerian.
“Lebih 300 sekolah di Sabah dikenal pasti daif. Keutamaan diberi kepada projek Skala 6 di bawah RM1 juta kerana lebih cepat disiapkan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan sama ketika bertugas di Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, yang menyaksikan kira-kira 100 klinik daif siap dalam dua tahun, akan diguna pakai bagi mempercepat naik taraf sekolah di Sabah.






