KOTA KINABALU: Penolong Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkongsi lebih 1.2 tan durian, dianggarkan antara 500 hingga 900 biji, bersama pengamal media dalam program “Santai Media Durian” di RTM Sabah, sempena lebihan bekalan durian ketika ini.
Ruslan berkata program itu bertujuan berkongsi rezeki serta mengeratkan hubungan dan kerjasama antara agensi kerajaan dan media.
“Kita mahu berkongsi rezeki, mengukuhkan hubungan dan mewujudkan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak,” katanya, sambil memaklumkan kebanyakan durian datang dari kebunnya sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri komited menghidupkan semula kawasan kebun durian terbiar, termasuk kebun kecil di kampung-kampung luar bandar, bagi meningkatkan pendapatan petani dan memaksimumkan potensi buah tempatan.
“Banyak kampung ada pokok durian dan buah-buahan tempatan, tetapi hasilnya belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sumber pendapatan. Kerajaan sedia membantu memulihkan kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata bantuan awal akan melibatkan agensi berkaitan dengan fokus kepada kemahiran pertanian, pembajaan dan kawalan perosak bagi meningkatkan hasil dan kualiti buah, sekali gus menstabilkan bekalan buah tempatan di pasaran.






