Bayangkan menempah tiket penerbangan hanya untuk “dipenjarakan” dalam pesawat sambil menahan derita panas bersama penumpang lain tanpa penghawa dingin.
Begitulah kejadian di atas pesawat milik Malaysian Airlines (MAS) yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah dua hari yang lalu.
Pengguna TikTok, @babahnadeen telah mengongsikan peristiwa panas itu pada aplikasi media sosial tersebut yang kini telah meraih 1.5 juta tontonan.
Menurut beliau yang bernama Muhammad Nazri Mohd Shah, 27, pesawat tersebut dijadualkan berlepas pada jam 10.30 pagi.
Namun selepas hampir sejam berada pada landasan tanpa penghawa dingin, penumpang-penumpang mula basah kuyup dengan peluh sendiri disebabkan haba badan terperangkap dalam kabin yang berjemur di bawah matahari.
Tangisan kanak-kanak yang kepanasan boleh didengari dalam video tersebut walaupun sudah dalam keadaan tidak berbaju. Ia antara usaha ibu bapa bagi menurunkan suhu badan mereka.
Seorang pramugari dalam video tersebut cuba bahawa menerangkan masalah berpunca daripada bekalan kuasa pesawat terbabit.
“Tukar saja la kapal terbang…Kan lebih bagus cakap awal-awal kapal terbang rosak,” katanya…
Video kedua yang dimuat naik beliau menunjukkan penumpang akhirnya dibenarkan keluar untuk menunggu di lobi lapangan terbang.
“Macam main bola, berperang dekat dalam dulu,” katanya sambil ketawa.
Beliau turut menasihati pihak MAS untuk mengutamakan keselesaan pelanggan mereka terutamanya apabila menghadapi masalah pesawat yang tidak mungkin dapat diperbaiki dalam masa singkat.
“Kalau macam ni keluarkan dulu penumpang, ini ko tunggu lama-lama dan sidai orang tu, mati lah orang dengan anak-anak,” tambahnya.
Pihak MAS masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung insiden ataupun jika pelanggan yang terjejas akan menerima sebarang pampasan.
Perjalanan penumpang diteruskan dan sampai ke destinasi dengan menggunakan pesawat yang berbeza. Video pada TikTok Nazri yang terbaharu menunjukkan beliau sudah berada di Sandakan.