Tular satu video di mana penumpang Air Asia laluan Sandakan ke Kuala Lumpur terpaksa menunggu selama enam jam apabila penerbangan mereka ditunda.
Dalam video tersebut, kebanyakkan penumpang tidak dapat menahan kemarahan mereka apabila penerbangan yang sepatutnya dijadualkan pada jam 9.20 malam telah ditukar sehingga jam 2.00 pagi.
Memetik laporan Harian Metro, salah seorang penumpang Sh Ismail Alif, 42 menyuarakan ketidakpuashatian beliau dengan tindakan syarikat penerbangan itu menunda dan menjadualkan semula penerbangan di saat-saat akhir sehingga isu itu tular di media sosial.
“Jadual asal penerbangan saya 9.20 pagi kelmarin (Ahad lalu) dari Sandakan ke Kuala Lumpur, ditunda kepada 11.25 malam dan akhirnya, ditangguh lagi sehingga 2 pagi esoknya (semalam)…
“Kami hanya sampai ke rumah (dari Klia2) di Shah Alam sekitar 7.30 pagi, kelewatan penerbangan ini menjejaskan perancangan saya, malah ia menyebabkan isteri saya lewat ke tempat kerja,” luah beliau.
Beliau menyifatkan tindakan AirAsia itu tidak bertanggungjawab kerana penjadualan semula penerbangan juga terlalu lewat sehingga 2 pagi, malah ada penerbangan dijadualkan hampir 3 pagi.
Beliau berkata insiden itu telah menyebabkan ramai penumpang terjejas dengan pindaan penerbangan saat akhir tanpa penjelasan yang munasabah.
“Penerbangan saya ditangguhkan lebih 12 jam. Saya terpaksa mengambil cuti kerja, isteri saya (Noorena Wahab, 40) yang bekerja sebagai penjawat awam terpaksa datang lambat ke tempat kerja,” tambah beliau
Sementara itu, wartawan Harian Metro yang sepatutnya mengikuti penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur turut menerima nasib sama seperti Sh Ismail apabila jadual penerbangan 9.15 malam, ditunda kepada 1 pagi esoknya.
Penumpang juga merungut kerana ada antara mereka terpaksa ‘bermalam’ di lapangan terbang bersama anak kecil berikutan penundaan penerbangan yang sangat lewat.
Dalam pada itu, ahli politik Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang turut mengalami nasib sama membidas AirAsia dan berkata, syarikat penerbangan itu tidak sepatutnya menunda dan menjadualkan semula penerbangan sesuka hati tanpa mengambil kira kesulitan dan kos ditanggung pelanggan.
“Saya sudah melalui situasi ini beberapa kali bersama syarikat penerbangan yang sama, tetapi ini kali pertama penerbangan saya ditunda semula dua kali berturut-turut dan tiba 3.30 pagi keesokannya (di Kuala Lumpur),” katanya di laman rasmi Facebook beliau, hari ini.
Baru – baru ini dua syarikat penerbangan utama negara telah menyebabkan kemarahan orang ramai susulan tindakan menaikkan harga tiket hampir 1000 peratus dan selalu menunda jadual penerbangan.