KOTA KINABALU: Seramai 60 ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) dari Kampung Suang Parai, Manggatal telah keluar parti kemudian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Sabtu.
Bekas ketua cawangan Warisan Kampung Suang Parai Lorong C, Mohd Saad Mohd Arif, yang mengetuai cawangan itu berkata, beliau menyertai parti utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah atas kehendaknya sendiri bersama-sama dengan 59 lagi bekas ahli Warisan yang lain.
“Saya meninggalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat kerana banyak isu di kampung ini masih belum selesai terutama berkaitan bekalan elektrik dan air, ini adalah hak asasi manusia.
“Walaupun banyak dakwaan tidak bauk yang dilemparkan terhadap Gagasan Rakyat, saya tidak tertarik dengan itu, kerana saya melihat kampung lain yang diuruskan parti itu dijaga dengan baik khususnya dalam aspek pembelaan mendapatkan bekalan elektrik dan air.
“Justeru, saya mengambil inisiatif ini untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang kami hadapi sekian lama. Kami berharap parti ini dapat membantu kami menyelesaikan masalah kami,” katanya kepada media di sini, semalam.
Sementera itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris berkata, selain daripada isu air dan elektrik, kampung itu juga berdepan masalah keadaan jalan raya yang teruk sejak sekian lama.
“Mereka memerlukan kepimpinan yang boleh membawa mereka ke tahap di mana mereka boleh menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, dan pihak kita boleh melakukannya.
“Tempat ini sudah lama diabaikan. Sejak zaman Warisan, tiada satu pun rayuan mereka dilayan.
“Kita tidak janji dapat menyelesaikan masalah semua mereka, tetapi kita akan memberikan perhatian dan berusaha sepenuhnya untuk membantu mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya.
Turut hadir bersama-sama semalam ialah, bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang kini sudah menjadi ahli Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai.






