Majikan Sambut Baik Kadar 2 Peratus KWSP Untuk Pekerja Asing – Phoong

Majikan Sambut Baik Kadar 2 Peratus KWSP Untuk Pekerja Asing – Phoong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengilang di Malaysia menyambut baik kadar 2 peratus caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

“Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, sebagai contoh, menyatakan kadar ini jauh lebih rendah daripada jangkaan sejak diumumkan tahun lalu dan memberi manfaat kepada rakyat biasa.

“Akhirnya, Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan mendengar pandangan kami serta membincangkannya di kabinet. Ini menunjukkan kerajaan yang baik, komited mendengar pandangan sektor perniagaan.

“Pekerja asing juga mempunyai sedikit simpanan di Malaysia, jadi ini adalah situasi menang-menang,” katanya ketika melancarkan Pos Shop di pejabat Pos Malaysia di sini pada Jumaat.

Berhubung isu kenaikan gaji minimum terbaru, Phoong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, kerajaan sedang berusaha memperluaskan ekonomi Sabah.

Ini termasuk membawa masuk lebih banyak pelaburan, meningkatkan taraf perniagaan, menarik lebih ramai pelancong serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya majikan mampu membayar gaji lebih tinggi.

“Bukan sahaja RM1,700, malah lebih daripada itu… Anda mahu menggembirakan pekerja anda, tetapi mereka masih tidak berpuas hati dengan RM1,500 malah RM1,700 sekalipun.

“Jadi bagaimana anda mahu mengimbangi perkara ini? Inilah persoalan utama bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

“Di setiap negara, apabila gaji pekerja dinaikkan, mereka akan berdepan tentangan daripada pihak perniagaan.

“Jadi bagaimana kita boleh menyelesaikannya? Jawapannya adalah dengan mencapai pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi dan menjadi antara yang tertinggi di Asia Tenggara serta rantau ASEAN,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pada 2023, sektor perkilangan Sabah mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus, yang tertinggi di Malaysia, manakala sektor perkhidmatan negeri itu mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus.