Dua Cedera, Seorang Tersepit Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Kg Tambilaung

Dua Cedera, Seorang Tersepit Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Kg Tambilaung

0
SHARE

KOTA BELUD: Dua lelaki cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Tambilaung, pada malam Sabtu.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PBK I Sufian Aban, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.00 malam dan tiba di lokasi kejadian sejauh 25 kilometer kira-kira jam 9.27 malam.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu sebuah Proton Wira dan Perodua Bezza. Seorang mangsa lelaki di dalam Proton Wira didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas,” katanya.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan itu kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi untuk tindakan lanjut.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 33 tahun yang menaiki Perodua Bezza telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” tambahnya.

Seramai sembilan anggota dari BBP Kota Belud dikerah ke lokasi dengan kekuatan satu jentera FRT dan sebuah Pajero.

Operasi pembersihan tumpahan minyak dan serpihan turut dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula.

Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.56 malam.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.