Dadah Ancaman Sosial, Usaha Bersepadu Semua Pihak Diperlukan – James

Dadah Ancaman Sosial, Usaha Bersepadu Semua Pihak Diperlukan – James

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ancaman dadah bukan sekadar isu jenayah atau kesihatan, tetapi krisis sosial yang mengancam masa depan generasi akan datang, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah berkata, pendekatan bersepadu yang melibatkan semua lapisan masyarakat adalah kunci untuk membanteras gejala ini secara menyeluruh.

“Dadah bukan hanya soal penagihan, ia menjejaskan nilai moral, institusi keluarga dan pembangunan insan. Kita memerlukan tindakan kolektif meliputi pendidikan, pencegahan awal, pemulihan dan integrasi sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, bersama warga AADK dan PEMADAM Sabah di Hilton Hotel, di sini, semalam.

James memaklumkan, Sabah kini memiliki 35 Pengerusi PEMADAM Daerah yang aktif serta lapan daerah operasi utama AADK yang terlibat dalam rawatan, pencegahan dan penguatkuasaan.

Antara program utama yang sedang dilaksanakan termasuk Program IMAN yang memberi tumpuan kepada pembangunan jati diri belia, Program BIJAK untuk pelajar sekolah dengan pendekatan nilai sahsiah, serta Program TABAH dan DAMAI yang memfokus kepada intervensi psikososial bagi belia berisiko dan keluarga mereka.

“Program Raya PUSPEN Papar juga memberi sokongan moral kepada klien rawatan sebagai simbol integrasi semula ke masyarakat. Semua ini adalah antara langkah untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam agenda Sabah Bebas Dadah,” katanya.

James turut menekankan kepentingan Program Pemerkasaan Keluarga (PPK), perluasan fungsi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), dan pembinaan jaringan sukarelawan komuniti sebagai tunjang kekuatan dalam perang menentang dadah.

Menurut beliau, strategi pencegahan AADK termasuk penubuhan Skuad Antidadah di daerah kecil serta program Tempat Kerja Bebas Dadah dalam sektor awam dan swasta, membuktikan komitmen menyeluruh kerajaan dan agensi berkaitan.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong semua dasar dan program yang menjurus kepada pembentukan masyarakat sihat, berilmu dan bebas daripada pengaruh dadah. Ini bukan tugas AADK dan PEMADAM semata-mata, ia tanggungjawab bersama,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat memberikan peluang kedua kepada bekas penagih, bukan stigma, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan pembinaan semula kehidupan.