KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membekukan sijil halal Syarikat Port View Euro Bakery Sdn Bhd selepas penemuan DNA khinzir dalam barisan produk kuih bulan.
Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali berkata, pihaknya menerima laporan secara bertulis itu pada 16 November daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Laporan berkenaan bedasarkan hasil pemantauan yang dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 23 September susulan dari aduan yang dibuat terhadap syarikat itu pada 16 September lalu.
“MUIS telah memanggil pihak Syarikat Port View Euro Bakery Sdn Bhd datang ke pejabat MUIS pada 19 November bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu…
“Kami mendapati bahawa sijil halal syarikat itu telah tamat tempoh pada 15 Mei 2021 dan syarikat itu mengakui kesilapan yang berlaku,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Ramlan berkata syarikat itu telah melakukan ketidakakuran Syariah yang berkaitan dengan produk makanan “Moon Cake” yang dkeluarkan.
“Ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal dari Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bertarikh 1 November 2021 yang menyatakan keputusan analisa DNA haiwan bagi sampel Port View Moon Cake adalah menunjukan DNA Babi,” jelasnya.
Katanya pelanggaran dan ketidakakuran Syariah itu suatu yang amat serius dan sangat bertentangan dengan dasar Syarak (Islam) kerana melibatkan DNA Babi dalam makanan.
“Oleh itu MUIS telah mengambil tindakan dengan membekukan akuan permohonan pembaharuan syarikat ini dalam sistem MyeHalal dan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat ini…
“Sehubungan dengan penarik balik SPHM ini, syarikat ini adalah dilarang sama sekali mengunakan SPHM dan logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lainnya di dalam atau di luar premis atas nama syarikat ini,” tambahnya.
Beliau juga menasihatkan semua pihak yang mengunakan sijil dan logo halal Malaysia supaya menjaga kepentingan dan sensitiviti masyarakat Islam dalam memastikan makanan, produk atau barang gunaan yang dikeluarkan sentiasa patuh Syariah.





