KOTA KINABALU: Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Segama, Jumrah Mursalim, mencadangkan agar kerajaan mewujudkan program E-Dagang Beliawanis khusus untuk wanita muda luar bandar sebagai salah satu daripada enam langkah ekonomi berimpak tinggi bagi memperkasa peranan wanita muda dalam pembangunan ekonomi Sabah.
Menurut Jumrah, wanita muda luar bandar kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam masyarakat, sebaliknya telah menjadi pelopor dalam ekonomi digital, agropelancongan, perusahaan mikro, dan gerakan akar umbi.
“Kami bukan mahu subsidi makeup atau jadi penunggu dapur sepanjang masa. Kami mahu berdiri atas hasil usaha sendiri. Hari ini kami jual cucur, esok kami buka bakeri. Hari ini mula di TikTok Shop, tiga bulan lagi kami sponsor iklan syarikat besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam Persidangan Agung Tahunan Beliawanis baru-baru ini.
Enam cadangan yang dikemukan termasuklah, Penubuhan Pusat Keusahawanan Wanita Muda Luar Bandar – Inkubator latihan dan bimbingan pemasaran digital serta pembangunan produk secara sistematik; Dana Mikro Wanita B40 – Geran permulaan perniagaan kecil, bukan pinjaman, bagi membantu wanita muda memulakan langkah pertama dalam perniagaan;
TVET Bergerak untuk Wanita Muda – Latihan kemahiran seperti spa, kimpalan, jahitan dan kulinari terus ke kampung melalui kenderaan atau fasiliti bergerak; Pusat Agropelancongan dan Vendor Wanita Desa – Menyediakan tapak niaga khas kepada usahawan wanita desa yang menghasilkan produk tempatan;
Dan Program E-Dagang Beliawanis – Latihan lengkap dari fotografi produk, pemasaran di TikTok Shop, Shopee, hingga teknik menjawab mesej pelanggan dengan profesional; serta Satu Kampung, Satu Produk Wanita – Setiap kampung fokus kepada satu produk utama dengan sokongan promosi dan bantuan pengkomersialan.
“Siapa kata wanita kampung tidak boleh live jual produk? Kalau anak muda boleh live jual bedak, makcik kampung juga boleh live jual kuih-muih,” seloroh Jumrah.
Jumrah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor atas pelaksanaan program-program sedia ada seperti, Program SYUKUR (bantuan tunai RM300 untuk B40); Elaun Balik Kampung RM600 untuk pelajar Sabah; Sokongan koperasi wanita luar bandar melalui JHEWA; dan Skim Insurans Rakyat Sabah dengan perlindungan sehingga RM10,000
Namun begitu, beliau menekankan bahawa dasar-dasar ini perlu diperluas dan disampaikan secara lebih menyeluruh agar wanita muda dari kawasan pedalaman Pantai Timur seperti Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, dan Semporna tidak tertinggal dari arus pembangunan.
“Wanita muda Sabah bukan pelengkap pembangunan, kami pemangkin perubahan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar Beliawanis diberi ruang lebih besar dalam merangka dasar negeri serta menjadi rakan kongsi sebenar dalam pembangunan ekonomi, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.






