Sanggup Masuk Trak Sejuk Untuk Larikan Diri Dari Kawasan COVID-19

Sanggup Masuk Trak Sejuk Untuk Larikan Diri Dari Kawasan COVID-19

0
SHARE

HANOI, VIETNAM – Seramai 15 individu termasuk seorang budak lelaki berusia TUJUH (7) tahun nekad masuk ke dalam sebuah trak sejuk untuk cuba melarikan diri dari kawasan selatan yang teruk dilanda COVID-19.

Memetik laporan akhbar tempatan Phap Luat di Ho Chi Minh City, pihak polis menemui dan menahan kesemua individu tersebut yang berasa di dalam sebuah trak yang mencurigakan ketika cuba melalui pusat pemeriksaan dalam perjalanan ke utara pada Ahad.

“Polis terkejut melihat 15 orang di belakang trak. Sebilangan mereka berpeluh dan menunjukkan gejala sesak nafas,” menurut laporan itu sambil menambah bahawa penumpang membawa sijil ujian COVID negatif.

“Kami tahu ia risiko besar dan berbahaya untuk tinggal di trak beku tertutup, tetapi kami menghadapi risiko yang lebih tinggi jika kami dijangkiti virus,” menurut seorang lelaki yang turut bersama anaknya berusia tujuh tahun.

Menurut sumber yang dipetik AFP, seorang penumpang menyatakan mereka meminta pemandu mematikan sistem penyejukan trak kerana terlalu sejuk.

Laporan itu turut memaklumkan kumpulan terbabit menempuh jarak perjalanan berpuluh-puluh kilometer di dalam trak tertutup dari wilayah Dong Nai selatan, kawasan perindustrian yang mencatatkan lebih 35,000 kes COVID-19 dan 320 kematian.

Wilayah itu dikenakan perintah sekatan penuh sejak awal Julai dan hospital sementara didirikan untuk merawat puluhan ribu pesakit yang dijangkiti.

Penumpang di dalam trak itu dilaporkan cuba untuk sampai ke kediaman mereka di tengah Vietnam.

Vietnam menghentikan semua perkhidmatan rangkaian jalan raya dan pengangkutan udara dari selatan, kawasan paling teruk dilanda gelombang pandemik di negara itu setakat ini.