KUSKOP Akan Beri ‘Nafas Baharu’ Kepada Program SDSI, Akan Bawa Ke Kabinet 

KUSKOP Akan Beri ‘Nafas Baharu’ Kepada Program SDSI, Akan Bawa Ke Kabinet 

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar Majlis Perasmian Penutupan Program Showcase SDSI Peringkat Wilayah Sarawak di Plaza Merdeka Shopping Centre Kuching ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUCHING, SARAWAK – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi ‘nafas baharu’ kepada program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang telah dilaksanakan sejak 1992.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kertas kabinet sedang disediakan oleh KUSKOP berkaitan dengan penambahbaikan program SDSI sesuai dengan keperluan dan situasi masa kini, terutama memodenkan dan mengantarabangsakan produk yang dihasilkan di bawah program tersebut.

“KUSKOP akan meneruskan program SDSI ini pada tahun-tahun seterusnya, tetapi kita akan menambah nafas baharu bagi memodenkan produk SDSI, memberi identiti baharu sesuai dengan keperluan dan situasi masa kini supaya produk-produk yang dihasilkan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

“Kementerian sedang menyediakan kertas kabinet untuk saya angkat ke mesyuarat kabinet,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Showcase SDSI Peringkat Wilayah Sarawak di Plaza Merdeka Shopping Centre Kuching, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Premier, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Sebelum ini Ewon semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) pada 7 September lepas turut membincangkan penambahbaikan program SDSI dengan menggalakkan penubuhan koperasi di kalangan komuniti pengusaha yang telah dipilih dengan meminda keahlian minimum kepad lima ahli sahaja bagi menubuhkan sesebuah koperasi.

Mesyuarat tersebut juga bersetuju supaya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sebuah agensi KUSKOP akan dilantik sebagai agensi pelaksana kepada program SDSI tersebut.

Sementara itu, Ewon menyatakan bahawa Showcase SDSI Peringakat Kebangsaan akan diadakan di Melaka pada 7 hingga 8 Oktober di Melaka International Trade Centre (MITC).

Terdahulu itu ketika berucap, Ewon berkata, Showcase SDSI merupakan inisiatif KUSKOP untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif kepada perusahaan SDSI dan usahawan setempat.

“Showcase SDSI menyediakan platform pengkomersialan, menerusi pameran dan jualan produk-produk beridentitikan sesebuah daerah.

“Showcase  ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI adalah berkualiti dan berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, KUSKOP komited dalam memastikan agenda keusahawanan di negara ini dapat dibangunkan secara holistik dan inklusif.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan berkualiti di seluruh negara. Kementerian melalui SME Corp Malaysia telah diperuntukkan dana tambahan untuk memperkenalkan Program Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP) Plus bertujuan mewujud dan membangunkan syarikat bersaiz mikro milikan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Melalui BEEP Plus, usahawan boleh memanfaatkan geran sehingga 70 peratus daripada kos projek atau maksimum RM250,000.

“Dalam pada KUSKOP dan agensi-agensinya berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik, merangkumi aspek pemasaran, kewangan, pembangunan kapasiti dan latihan, niatnya tidak lain adalah supaya seramai mungkin usahawan dan bakal usahawan menerima manfaat daripada inisiatif-inisiatif ini,” katanya.

Showcase SDSI yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin dijadiri lebih 13,000 pengunjung dengan jumlah potensi pembiayaan lebih RM18 juta.

Turut hadir, Ketua Setiausaha
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad serts Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron.