SHAH ALAM, SELANGOR – Pihak polis menahan seorang wanita dipercayai memimpin kumpulan ajaran sesat yang dinamakan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Ini selepas kekecohan berhubung ajaran sesat mendapat perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Sittah Annur, 39, baru-baru ini mencetuskan kekecohan apabila muncul di laman media sosial Facebook dengan ideologi ajaran sesatny PMYT yang mana mengakui dan mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.
Susulan daripada kekecohan itu yang dibimbangi mempengaruhi orang lain, satu serbuan telah dibuat rumahnya yang mana pihak polis telah menemui sekeping resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan sebanyak RM84,721.42.
Turut dirampas bersama adalah lima telefon pintar, sekeping kad bank dan sepasang telekung yang dipercayai digunakan beliau sewaktu membuat Facebook Live.
“Siasatan juga mendapati wang diterima suspek menerusi rampasan resit pemindahan wang itu adalah hasil derma daripada ahli yang menyertai kumpulan ajarannya itu…
“Peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ulas Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni
Basri berkata, permohonan tahanan reman terhadap suspek dipohon dan dibenarkan oleh Majistret Kuala Lumpur selama empat hari sehingga 7 September ini.
Sittah Annur dalam ideologi ajaran sesat PMYT itu mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT.